Sajak Merdeka Terbaik Oleh Sasterawan Negara Malaysia

Pelbagai sajak kemerdekaan dideklamasikan oleh sasterawan negara kita. Antara yang terlibat ialah A. Samad Said, Usman Awang (Tongkat Warrant), A. Aziz Deraman, Zurinah Hassan, Siti Zainon Ismail dan ramai lagi.

Sajak Merdeka Oleh Sasterawan Negara

Kami akan kongsikan beberapa dendangan sajak merdeka oleh sasterawan negara kita.

Tajuk Sajak Merdeka: Erti Sebuah Kemerdekaan
Oleh: A. Samad Said

Kita sudah sampai di lereng amat indah, di bawah
pelangi, dalam ufuk yang masih mencabar;
dan kita ikhlas berjanji untuk bermaruah,
tenang dalam segala uji cabar dan debar.
Kita mencari hanya yang tulen dan jati,
sekata hidup, mengerti dan berbudi.

Kita wajar mendaki lagi kerana puncak
yang jauh. Dalam gelora dan taufan
tak tercalar tekad kita kerana kemerdekaan
mengasuh kita bersuara dalam sopan,
yakin menyanggah musuh, tulus menambah kawan,
inti tonggak dan menara kebahagian.

Kita datang bersama anak-anak yang sedia
menyanyi – sihat, teguh, bertekad dan berani.
Mengelilingi tasik, mendaki gunung, kita
mengajar mereka berjiwa besar dan berbakti.
Tanah air akan indah, megah dan bermaruah
jika kita sentiasa mensyukuri anugerah Allah;
dan bumi akan subur, makmur dan mewah
jika kita bekerja dan berikrar hidup bersama.

Tanah air memberi banyak, mesra mendakap kita;
kemerdekaan mendorong kita berdiri dan berbakti.
Dan kita sudah sampai di lereng indah, pasti
tetap mendaki juga, menyanggah musuh, menambah
kawan tanpa jenuh, khuatir, juga tanpa rawan.
Dan dalam alaf baru semangat kita wajar padu,
berjalan kita atas nama tanah air dan bangsa –
bangga kerana merdeka, megah kerana bahagia.

Anak-anak kita bakal datang tangkas dan berilmu;
dan kita, dalam sejarah, bakal syahdu dan bangga,
kerana awan yang indah, lapis pelangi lebih mesra,
wajah diri dan inti peribadi kita tunjang bagi
kehidupan dan kemerdekaan bangsa yang sentiasa
sedia belajar mengerti dan tekun hidup bersama.

Tajuk Sajak Merdeka: Erti Kemerdekaan
Oleh : A Samad Said

sajak merdeka a samad said

Kita mencari hanya yang tulen dan jati
sekadar hidup mengerti dan berbudi
dan bumi akan subur, makmur dan mewah
jika kita bekerja dan berikrar hidup bersama

tanah air memberi banyak
mesra mendakap kita
kemerdekaan mendorong kita berdiri dan berbakti
dan dalam alaf baru
semangat kita wajar padu berjalan kita
atas nama tanah air dan bangsa
bangga kerana merdeka
megah kerana bahagia.

Tajuk Sajak Merdeka: Damai (Tanahairku Dunia)
Oleh : Usman Awang

sajak merdeka usman awang

Sisa hidup ini hendak kita pelihara
juga tanah, pohon dan buah-buah
juga tulang, daging dan darah
jangan suara jadi parau di musim kemarau.

Tapi tanah kami sudah kerecikan api
lama bermula, tidak hilang sampai kini
dan meski tawaran damai sudah diberi
orang masih tidak peduli!

Pohon getah dan tanah mengandung bijih
rebutan manusia daerah asing
kita gali kubur dan masuk berdiam di dalamnya!

Damai – seruan dan tawaran
damai – untuk tanahairku dan kemerdekaan
damai – untuk dunia dan kesejahteraan!

Tajuk Sajak Merdeka: Tanahair
Oleh : Tongkat Warrant

Engkau Tanah Air
pemilik perut yang berbudi
penampung hujan penyedut sinar mentari
lahirlah anakmu dari semaian petani

Engkau Ibu Murni
dengan jasa abadi
berdetik didenyut nafas kami
kerna kita satu sama dipunyai

Telah kau rasa
segala seperti kami
dalam ngeri perang dadamu dibongkar besi
di mana-mana wajahmu tak pernah mati

Tapi begitu
sejarah hidup zaman berzaman
pernah merangkul pahlawan kemerdekaan
mereka sujud dalam kaku
mohon perlindungan

Bukankah dengan
kasih dan harapan
kau tenggelamkan mereka dalam dakapan
di mana bunga ganti nisan bertaburan

Negara baru
di atas rongga jantungmu
akan tertegak bertapak dalam kebebasan
cinta antara kita wahyu dari Tuhan.

Tajuk Sajak Merdeka: Senja Hari Merdeka
Oleh : Siti Zainon Ismail

Seluruh kota gemerlap cahaya
tak siapa sempat berdoa
bersama decip burung
kala perwira kehilangan kaki dan sebutir mata.
Tak siapa sudi membawanya ke dataran pesta
jalan sesak pemimpin segak berarak
tanyalah padang yang menyaksikan
laungan pertama, ogos basah
juga hampir kehilangan nama di peta
di mana muzium sejarah
menghimpun getar nyilu perjanjian
ucapan hilang di telan zaman
padang merdeka menjadi taman jerigi
tiang-tiang pualam tumbuh
hotel bintang lima
membakar tapak silam
sebuah keaiban peradaban
memusnahkan warisan

Tajuk Sajak Merdeka: Jebat Yang Tidak Jadi Menderhaka
Oleh : Zurinah Hassan

Sepanjang hidupnya
Jebat mendengar Tuah berkata:
pantang Melayu menderhaka.

Kata-kata itu diulang-ulang
pantang Melayu menderhaka
pantang Melayu menderhaka.

Tuah mengajar mereka menghafalnya
Tuah meminta mereka berjanji
untuk mentaati.

Sehinggalah pada hari itu
Tuah dihukum tanpa usul periksa
Tuah yang setia dituduh menderhaka
Tuah yang dikasihi dihukum mati
siapakah yang dapat berdiam diri.

Dengan marah yang menggelegak
Jebat mahu memberontak
tetapi dia tergamam
terbayang wajah Tuah
bersungguh-sungguh meminta
agar tidak menderhaka
kata-kata orang yang disayangi
memang selalu dikenang
amanat orang yang disayangi
akan tetap dipegang
jika Jebat menderhaka
akan tercemar persaudaraan mereka.

Kerana kasihnya kepada Tuah
Jebat tidak jadi membantah
dia pun tunduk
menerima segala tugas can anugerah
yang telah dilucutkan daripada Tuah.

Tidak ada apa-apa
yang berlaku di Melaka
kerana Jebat tidak jadi menderhaka
tidak ada apa-apa yang mengganggu
ketika raja lena beradu
didodoi dayang diulit lagu.

Kerana Jebat tidak menderhaka
Tuah tidak dijemput pulang ke Melaka
Hiduplah dia di hutan
sehingga mati dan dilupakan.

Kalau tak reti bersajak apakata cuba ayat pickup line merdeka ni.

Jangan lupa sertai pertandingan tiktok merdeka anjuran KPKT.

Fahami maksud dan warna bendera Malaysia Jalur Gemilang.

Jom hayati pantun merdeka dan kongsikan di media sosial anda.

Leave a Comment

error: Content is protected !!