Niat Puasa Asyura dan Tasu’a, Amalan dan Kelebihan

Sedar tak sedar, kita telah pun masuk tahun baru Islam, 1 Muharram pada 19 Julai 2023 yang lepas.

Antara amalan sunat yang dilakukan pada bulan Muharram oleh Rasulullah SAW adalah berpuasa pada 10 Muharram atau lebih dikenali dengan puasa Asyura.

Cara Niat Puasa Sunat Hari Tasu’a dan Hari Asyura


Disebakan puasa Hari Tasu’a dan Hari Asyura hukumnya sunat, maka niat puasanya boleh dilafazkan bermula malam hari sehingga sebelum waktu matahari tergelincir iaitu sebelum masuk waktu Zuhur.

puasa asyura

Lafaz Niat Puasa Sunat Tasu’a

نَوَيْتُ صَوْم تَاسُعَاء سُنَّة لله تَعَالى

Bacaan Rumi : Nawaitu Sauma Tasu’a Sunnatal Lillahita’ala

Maksud : “Sahaja Aku Puasa Sunat Hari Tasu’a Esok Hari Kerana Allah Ta’ala”

Lafaz Niat Puasa Asyura

نَوَيْتُ صَوْم عشرسُنَّة لله تَعَالى

Bacaan Rumi : Nawaitu Sauma Asyura Sunnatal Lillahita’ala

Maksud : “Sahaja Aku Puasa Sunat Hari Asyura Esok Hari Kerana Allah Ta’ala”

Jadi marilah kita, merebut peluang ini untuk melakukan amal ibadah ini, dengan harapan dan doa agar dosa-dosa kita dihapuskan Allah S.W.T.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Kelebihan Bulan Muharram

Di antara kelebihan bulan ini seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran adalah berdasarkan firman Allah S.W.T yang berikut:

puasa hari asyura

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ

Maksudnya: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya);

Surah al-Taubah (36)

Menurut hadis Rasulullah SAW, bulan Muharram juga termasuk di antara bulan-bulan haram selain bulan Zulkaedah, Zulhijjah, dan Rejab.

السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا مِنْهَا، أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثٌ مُتَوَالِيَاتٌ، ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ

Maksudnya: Dalam setahun itu ada dua belas bulan dan di antaranya adalah empat bulan haram. Tiga bulan yang berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram serta bulan Rejab yang berada di antara Jamadil Akhir dan juga Syaaban.

Riwayat al-Bukhari (184)

Justeru, dua nas di atas jelas menunjukkan bahawa bulan Muharram dimuliakan kerana ia termasuk dalam kalangan empat bulan haram yang mana diharamkan untuk berperang pada bulan-bulan haram serta ianya sangat dihormati dari sudut amalan soleh di dalamnya menjadi besar ganjarannya manakala dosa dan maksiat juga turut menjadi lebih besar di dalam bulan-bulan haram.

Galakan Berpuasa Dalam Bulan Muharram

Pada bulan Muharram, umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan berpuasa sunat. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَإِنَّ أَفْضَلَ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْمَفْرُوضَةِ صَلاَةٌ مِنَ اللَّيْلِ

Maksudnya: Seafdhal-afdhal puasa setelah bulan Ramadhan adalah berpuasa pada bulan Allah al-Muharram dan sesungguhnya solat yang paling afdhal setelah solat fardhu adalah solat malam (Qiyamullail).

Riwayat Abu Daud (2429)

Ada juga sebuah hadis yang menceritakan berkenaan seorang lelaki yang telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang bulan apakah yang Rasulullah perintahkan untuk dirinya berpuasa setelah bulan Ramadhan ? Maka jawab baginda S.A.W:

إِنْ كُنْتَ صَائِمًا بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ فَصُمِ الْمُحَرَّمَ فَإِنَّهُ شَهْرُ اللَّهِ

Maksudnya: Sekiranya kamu hendak berpuasa setelah bulan Ramadhan maka berpuasalah kamu pada bulan al-Muharram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah.

Riwayat al-Tirmizi (741)

Dari dua hadis tersebut, jelas menunjukkan yang berpuasa pada hari Asyura di bulan Muharram adalah sunat. Jadi, rebutlah peluang untuk berpuasa pada hari yang disunatkan dan semoga semua amalan kita diterima Allah SWT.

Anjuran Puasa Sunat Pada 9, 10 dan 11 Muharam

Walaupun dianjurkan berpuasa pada 10 Muharam, sangat dianjurkan untuk diiringi dengan berpuasa pada hari sebelum atau selepas untuk menyelisihi golongan Yahudi yang hanya berpuasa pada 10 Muharam.

Hal ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Nabi S.A.W bersabda:

صُومُوا يَوْمَ عَاشُورَاءَ، وَخَالِفُوا فِيهِ الْيَهُودَ، صُومُوا قَبْلَهُ يَوْمًا، أَوْ بَعْدَهُ يَوْمًا

Maksudnya: Berpuasalah kalian pada hari ‘Asyura dan berbezalah dengan golongan Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya.

Riwayat Ahmad (2154)

Demikian juga sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abbas R.anhuma, kata Nabi S.A.W:

لَئِنْ بَقِيتُ إِلَى قَابِلٍ لأَصُومَنَّ التَّاسِعَ

Maksudnya: Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan nescaya aku akan berpuasa pada hari yang ke 9 (Muharram).

Riwayat Muslim (1134)

Demikian juga ketika Nabi S.A.W memerintahkan untuk berpuasa pada hari ‘Asyura, maka para sahabatnya berkata: “Wahai Rasulullah S.A.W, sesungguhnya ia adalah hari yang mana golongan Yahudi dan Nasrani membesarkannya”. Maka Rasulullah S.A.W menjawab:

فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ – إِنْ شَاءَ اللَّهُ – صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ

Maksudnya: Apabila datangnya tahun hadapan Insha Allah kita akan berpuasa pada hari yang ke sembilan.

Riwayat Muslim (1134)

Menerusi hadis ini, jelaslah bahawa puasa sunat pada Hari ‘Asyura perlu diiringi dengan puasa sunat pada 9 atau 11 Muharram bagi menyelisihi amalan Kaum Yahudi.

Bagi tahun 2023, Hari Tasu’a adalah pada 9 Muharram (27 Julai Khamis) dan Hari Asyura pada 10 Muharram (28 Julai Jumaat)

Tasu’a (تاسوعا) bermaksud “Hari Kesembilan” Muharram iaitu hari sebelum Asyura yang disarankan berpuasa oleh Rasulullah SAW.

Baca juga

Leave a Comment

error: Content is protected !!